TOPIK 6: FRASA KERJA BAHASA MELAYU
Frasa Kerja Dengan Kata Bantu Aspek
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz. (2008) Frasa kerja terdiri daripada kata kerja sebagai unsur intinya. Frasa kerja bertugas sebagai predikat dalam susunan ayat biasa. Dalam hal ini, frasa kerja yang melibatkan kata bantu aspek merupakan keperihalan tentang aspek masa lampau, ini atau masa hadapan. Hal yang demikian bersesuaian dengan fungsi kata bantu aspek.
Bagi menjelaskan fungsi kata bantu dalam frasa, diberikan contoh ayat berkaitan.
Contoh (fungsi menunjukkan masa yang telah berlaku: sudah , telah ,pernah)
(1). Amirul sudah mencapai kejayaan dalam peperiksaan yang lepas.
(2). Dia telah menulis puisi sejak di bangku sekolah.
(3). Michael pernah mendapat pengiktirafan sebagai guru cemerlang.
Contoh (fungsi menunjukkan perbuatan yang belum dilakukan: akan dan belum)
(4). Wan Malini akan memetik bunga di taman.
(5). Adi Kencana belum lagi berminat untuk merantau ke kota.
Kata Bantu
|
Kata Bantu Aspek
|
Kata Bantu Ragam
|
Memerihalkan masa lampau, kini, atau masa hadapan.
Contoh :
telah, sudah, sedang, masih, akan, belum
|
Memerihalkan perasaan ketika melakukan perbuatan.
Contoh:
hendak, mahu, harus, mesti, boleh, dan dapat
|
Frasa Kerja Dengan Kata Bantu Ragam
Frasa kerja yang melibatkan kata bantu ragam merupakan keperihalan tentang aspek perasaan. Hal yang demikian bersesuaian dengan fungsi kata bantu aspek yang memerihalkan perasaan ketika melakukan perbuatan.
Contoh ayat:
(6). Dia hendak bekerja di Kuala Lumpur.
(7). Maslina mahu membuktikan bahawa dia juga mampu menjadi juara.
(8). Dia harus pulang ke kampung segera.
(9). Anda mesti belajar untuk menguasai kemahiran mengajar.
(10). Yatim boleh berjaya jika dia berusaha bersungguh-sungguh.
(11). Daud dapat menyertai program sukan berkuda di Johor Bahru.
Frasa Kerja Dengan Ayat Komplemen
Frasa kerja dengan ayat komplemen merupakan jenis frasa yang boleh menerima pelengkap atau sebaliknya yang dipancangkan ke dalam klausa utama bagi binaan sesuatu ayat. Menurut Nik Safiah Karim et.al (2008), frasa kerja sama ada jenis transitif atau tak transitif, boleh menerima ayat komplemen. Dalam binaan predikat, frasa kerja jenis ini ditandai dengan penggunaan kata kata hubung bahawa, demi, supaya, semoga dan untuk. Apabila keadaan sedemikian berlaku, maka ayat yang terbentuk ialah ayat majmuk
Contoh :
(i) Frasa kerja transitif dengan ayat komplemen
(12). Cikgu Normah menegaskan bahawa tidur yang berkualiti adalah perlu
untuk kesihatan minda.
(13). Pak Mat mengakui bahawa dia pernah berkhidmat dalam pasukan
komando.
(14). Pemandu bas itu memaklumkan bahawa semua penumpang selamat
sampai ke destinasi.
Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat (12) , (13) dan (14) menunjukkan kata kerja tidur, terjatuh dan bergaduh. Kata kerja tersebut menerima ayat komplemen yang akhirnya membentuk ayat majmuk.
(ii) Frasa kerja tak transitif dengan ayat komplemen
(15). Haji Amin percaya bahawa mangsa kebakaran itu boleh diselamatkan.
(16). Kim Seng faham bahawa jirannya terpaksa berpindah ke kampung.
(17). Jasmin berpendapat bahawa kerjaya guru sangat mencabar.
Dalam ayat (15), (16), dan (17), frasa kerja tak transitif telah menerima ayat komplemen. Biarpun begitu, ayat ini masih mengekalkan konsep kata kerja tak transitif dan akhirnya membentuk ayat majmuk.
Unsur Keterangan dalam Frasa Kerja
Unsur keterangan dalam frasa kerja diwakili oleh unsur-unsur penerang yang memerihalkan atau menerangkan kata kerja tersebut dengan lebih lanjut. Unsur –unsur biasanya hadir selepas kata kerja. Bagi kata kerja transitif, unsur keterangan hadir selepas objek (penyambut). Unsur-unsur keterangan boleh terdiri daripada binaan frasa sendi nama, frasa adjektif, dan frasa nama. Yang pasti, unsur keterangan ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang maksud dan sasaran makna dalam sesuatu frasa yang menjadi struktur binaan dalam satu-satu frasa.
Berdasarkan aspek makna yang hadir dalam frasa kerja, unsur keterangan dapat dibahagikan kepada lapan jenis:
(i) Keterangan tempat atau arah
(ii) Keterangan waktu
(iii) Keterangan cara
(iv) Keterangan tujuan atau harapan
(v) Keterangan alat
(vi) Keterangan penyertaan
(vii) Keterangan hal
(viii) Keterangan bagai
Huraian:
(i) Keterangan tempat atau arah
Unsur keterangan tempat atau arah membincangkan tempat berlakunya peristiwa. Penggunaan kata sendi nama di,ke,dari,daripada,kepada ,pada jelas terdapat dalam unsur keterangan ini.
Contoh:
(18) Dia belajar di universiti.
(19) Abang Malik memanjat ke atas bumbung rumah.
(20) Swee Ling berasal dari Negeri Sembilan.
(21) Emak Shafik menerima hadiah cenderamata daripada guru besar.
(ii) Keterangan waktu
Dua bentuk keterangan waktu wujud dalam frasa kerja iaitu
· bentuk frasa sendi nama yang mengandungi kata sendi nama iaitu pada, dalam , sejak dan hingga
· bentuk frasa nama seperti semalam, tahun lepas,
Contoh :
(22) Pensyarah itu menamatkan kuliah pada jam 9 malam.
(23) Pameran kesenian itu bermula sejak semalam.
(24) Aiman menunggu kepulangan ayahnya hingga pukul 12 malam.
(iii) Keterangan cara
· Keterangan cara boleh bersumberkan daripada kata adjektif.
· Keterangan cara boleh terbina daripada frasa sendi nama yang mengandungi kata sendi nama dengan diikuti kata adjektif yang menerima kata pembenda –nya.
Contoh :
(25) Air sungai mengalir deras.
(25) (a) Air sungai mengalir dengan derasnya.
(26) Azman berlari pantas.
(26) (a) Azman berlari dengan pantasnya.
(27) Menteri berjalan megah.
(27) (a) Menteri berjalan dengan megahnya.
(iv) Keterangan tujuan atau harapan
- Keterangan tujuan atau harapan ialah unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian.
- Keterangan tujuan menggunakan kata sendi nama : demi, untuk dan bagi.
Contoh :
(28) Muhamad belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.
(29) Mereka berkahwin untuk mencapai kebahagiaan hidup.
(30) Penghulu berucap di perhimpunan itu bagi menjelaskan isu sebenar.
(v) Keterangan alat
- Unsur yang menerangkan peralatan, perkakas atau benda yang digunakan dalam sesuatu proses atau peristiwa. Kata sendi nama yang digunakan ialah dengan.
Contoh:
(31) Guru pelatih itu datang dengan menaiki kereta api
(32) Encik Ahmad memotong kek dengan pisau.
(33) Harjit Singh memukul bola dengan kayu hoki.
(vi) Keterangan penyertaan
- Unsur yang menerangkan maksud ikut serta, ikut bersama-sama atau melibatkan diri.
- Kata sendi nama yang digunakan ialah dengan.
Contoh:
(34) Aminah datang ke masjid dengan suaminya.
(35) Pegawai kebajikan melawat kampung contoh dengan ahli jawatankuasa
surau.
(36) Muniandy masuk ke pejabat dengan pembantunya.
(vii) Keterangan hal
- keterangan hal berfungsi menerangkan keadaan
- kata sendi nama yang digunakan ialah tentang, mengenai, terhadap.
Contoh:
(37) Tuan pengurus sedang memikirkan tentang masalah itu.
(38) Panel disiplin membuat teguran terhadap kes itu.
(39) Jurutera perunding membuat penilaian semula tentang projek tersebut.
(viii) Keterangan bagai
- Unsur yang menerangkan keserupaan,kesamaan atau hampir sama.
- Kata sendi nama yang digunakan ialah seperti, bagai, sebagai, bak.
Contoh :
(40) Amran berlagak seperti pegawai tinggi .
(41) Kepantasan lelaki itu bertindak bagai lipas kudung .
(42) Diana berlakon sebagai Puteri Gunung Ledang.
(43) Hidungnya mancung bak seludang.
Kesimpulan
Frasa kerja merupakan satu bentuk frasa yang kompleks dan mampu menerima unsur-unsur perkataan yang menjadi struktur asas dalam binaan predikatnya.
Hal yang demikian bergantung kepada situasi dan rumus yang menjadi dasar dalam pembentukan frasa yang akhirnya menghasilkan satu ayat yang lengkap.